Umno Johor mahu jawatan presiden dan timbalan
presiden parti tidak dipertandingan pada pemilihan parti Oktober ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin berkata ketetapan itu dibuat berdasarkan sokongan padu rakyat dan
kemenangan yang dicapai pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lalu.
"Dalam perbincangan secara umum, kita menerima hakikat bahawa
dalam usaha mengukuhkan parti adalah wajar untuk tidak berlakunya pertandingan
di peringkat presiden dan timbalan presiden," katanya kepada pemberita
selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri di sini hari
ini.
Mengenai keputusan tidak akan bertanding pada pemilihan parti akan
datang
bagi memberikan tumpuan kepada kerja-kerja mengukuhkan parti di
peringkat negeri, Mohamed Khaled berkata ini bagi memberi peluang kepada
pemimpin negeri bertanding.
Ini juga sebagai platform bagi menjayakan semangat muafakat dalam
kalangan pemimpin di negeri ini, katanya.
"Atas sebab itulah kita akan tentukan seboleh-bolehnya
kurangkan persaingan antara pemimpin di negeri ini kerana apa yang penting pada
waktu ini adalah usaha mengukuhkan parti berdasarkan semangat kerjasama,"
katanya.
Mohamed Khaled berkata pada mesyuarat itu, Umno Johor juga mahu
kerajaan pusat memberi penghargaan kepada orang Melayu di atas sokongan mereka
pada pilihan raya umum lalu.
"Kedudukan Umno berdasarkan sokongan orang Melayu...oleh
sebab itu Umno Johor mahu kerajaan sentiasa menghargai sokongan yang diberikan
kepada Barisan Nasional (BN) di samping tidak meminggirkan sokongan daripada
kaum lain," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan