Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein
akan menjadi wakil tunggal Umno Johor bertanding jawatan naib presiden dalam
pemilihan parti Oktober ini.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Badan Perhubungan Umno
Johor hari ini yang dipengerusikan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed
Khaled Nordin.
Hishammuddin ketika diminta mengulas perkara itu menyatakan rasa
terharu dengan sokongan yang ditunjukkan Umno Johor untuk beliau mempertahankan
jawatan tersebut.
"Saya rasa begitu terharu dengan keputusan tersebut...saya
rasa bangga dan bertuah sangat apabila mendapat mandat daripada rakan-rakan di
Johor," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka
Aidilfitri Umno Bahagian Pontian di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis yang dihadiri lebih 5,000 penduduk itu
ialah Timbalan Menteri Kewangan yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pontian
Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Umno Bahagian Pontian Datuk Ir Hasni Mohammad.
Ketika diminta mengulas keputusan DAP yang akhirnya akur dengan
arahan
Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), Hishammuddin berkata ini menunjukkan
tindakan ROS sebelum ini adalah tepat.
"Walaupun banyak tuduhan telah dilemparkan namun tindakan
terbaru DAP ini membuktikan pihak mana
yang benar dan pihak mana yang mengikut emosi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan