Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, 76
ladang pengeluaran ayam dan itik di Johor telah dikenakan kompaun dengan nilai
keseluruhan RM155,000 kerana didapati ada pembiakan lalat.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Johor Ismail Mohamed berkata
terdapat kelemahan ketara dalam pengurusan tinja (najis) dan kawalan pencemaran
lalat di ladang terbabit sehingga menyebabkan kacau ganggu lalat di kawasan
ladang.
"Ada pengusaha dikesan tidak mengamalkan amalan pengurusan
ladang yang baik selain sikap pengusaha yang tidak prihatin tentang masalah
lalat yang dihadapi penduduk kerana mementingkan keuntungan semata-mata,"
katanya menjawab soalan Datuk Samsol Bari Jamali (BN-Semarang) pada persidangan
Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Katanya masalah kacau ganggu lalat juga berpunca daripada
pembangunan pesat di sekitar kawasan ladang selain terdapat ladang beroperasi
secara tradisional.
Menurut Ismail terdapat 821 ladang unggas berlesen di seluruh
Johor.
Bagi mengatasi masalah lalat, Jabatan Veterinar Johor melaksanakan
Pelan Eliminasi Lalat di 259 ladang ternakan ayam dan itik di negeri itu sejak
Oktober tahun lalu, katanya.
Program ini dilaksana oleh satu pasukan petugas khas yang
dilengkapi kemudahan logistik bagi membasmi lalat, kata Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan