Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau tidak
mempunyai calon kegemaran untuk menjadi naibnya pada pemilihan parti Oktober
ini.
Katanya beliau bagaimanapun tidak mempunyai sekatan terhadap
mana-mana calon Pemuda yang berhasrat menawarkan diri bertanding jawatan itu,
bahkan memberi sokongan secara sama rata kepada semua calon.
“Semua calon naib ketua Pemuda mempunyai pengalaman dan kekuatan
masing-masing. Keempat-empat calon (yang menawarkan diri) saya anggap sebagai
kawan baik saya.
“Sesiapa yang menang pun, saya boleh bekerjasama dengan mereka,”
katanya semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ‘Merdeka Raya’ anjuran
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC di sini hari ini.
Kenyataan beliau itu sekali gus menepis laporan akhbar sebelum ini
yang mengatakan beliau telah memperakui seorang calon untuk memegang jawatan
naib ketua Pemuda.
Jawatan naib ketua Pemuda menjadi perhatian apabila penyandang
jawatan itu Datuk Razali Ibrahim menyatakan hasrat bertanding kerusi Majlis
Tertinggi (MT) 19 Okt depan.
Empat calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib
ketua Pemuda setakat ini ialah Ketua Pemuda UMNO Perak Khairul Azwan Haron;
Exco Pemuda UMNO Lokman Noor Adam; Ketua Pemuda Tenom Jamawi Jaafar dan Ketua
Pemuda Lenggong Mohd Iruan Zulkefli.
Sebelum ini, Khairy dilaporkan kononnya merestui Khairul Azwan
dipilih untuk bertanding jawatan nombor dua sayap itu bagi membantunya
memperkukuhkan pergerakan itu.
Sementara itu, Khairy menetapkan sasaran dua atau tiga calon
Pemuda akan bertanding di peringkat MT pada pemilihan kali ini dan perkara itu
akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa Pemuda 4 Sept depan.
Ditanya mengenai kriteria yang ditetapkan oleh Pemuda untuk
membolehkan calon bertanding jawatan MT, Khairy berkata calon perlulah mempunyai
kematangan, boleh diterima di kalangan anggota dewasa serta boleh membawa imej
dan menjadi suara tambahan dalam MT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan