Ketua Umno Bahagian Johor Baharu Tan Sri Shahrir
Abdul Samad tidak berhasrat bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT)
Umno pada pemilihan parti Oktober ini.
Anggota Parlimen Johor Baharu itu berkata keputusan itu dibuat
bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada kawasan Parlimen yang diwakilinya.
"Saya tidak ada menyimpan cita-cita untuk bertanding MT pada
pemilihan kali ini kerana saya sibuk sebelah sini (kawasan Parlimen Johor
Baharu). Saya rasa
ramai lagi pemimpin peringkat pusat yang berwibawa mempunyai idea
baharu dan lebih bertenaga bagi menerajui politik peringkat nasional,"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka
Aidilfitri Parlimen Johor Baharu di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baharu
di sini hari ini.
Pada masa yang sama beliau meminta mereka yang menawarkan diri
untuk bertanding tidak berdendam sesama sendiri sama ada menang atau kalah.
"Dalam pertandingan, asasnya bukan kita mengukur diri sendiri
tetapi mereka yang ramai mengukur diri kita," katanya.
Di MUAR, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim
menafikan khabar angin beliau akan bertanding jawatan naib presiden Umno pada
pemilihan Oktober nanti.
Beliau berkata khabar angin itu dibuat oleh pihak tertentu ekoran keputusannya
menangguhkan pengumuman bertanding sebarang jawatan kerana menganggap masih
terlalu awal baginya untuk berbuat demikian.
Razali, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
bagaimanapun berkata beliau bersedia mempertimbangkan untuk bertanding jawatan
anggota MT Umno kerana berpendapat jawatan itu perlu diisi dengan gandingan
muka baharu dan lama bagi memastikan demokrasi dalam parti terus subur.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan
majlis pecah tanah Bangunan St John Ambulans Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu di KULIM, Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu Datuk
Abdul Aziz Sheikh Fadzir mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya
sebagai anggota MT Umno pada pemilihan parti itu nanti.
Abdul Aziz berkata setelah lima tahun berusaha untuk menjadi
seorang Anggota Parlimen dan berjaya pada pilihan raya umum yang lalu, beliau
akan menggunakan platform itu sebagai asas perjuangannya untuk memajukan
kawasan diwakilinya.
"Saya akan berjuang khususnya menyuarakan pendapat mengenai
pembangunan di negeri Kedah," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan
dan bacaan Yasin untuk 51 buah sekolah menengah dan rendah dalam Parlimen
Kulim/Bandar Baharu di sini hari ini.
Mengenai pembangunan di kawasannya, Abdul Aziz berkata beliau
merancang
menjadikan kawasan pekan Mahang dekat sini sebagai bandar pusat
ilmu, manakala Karangan yang mempunyai kawasan peranginan terkenal seperti
'Tree Top Walk' dan Arus Deras Sungai Sedim sebagai lokasi baharu program
perumahan kedua kepada pelancong asing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan