Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS)
Datuk Seri Noh Omar hari ini mempersoalkan sikap 'berat sebelah' Majlis
Perbandaran Klang (MPK) yang merobohkan premis perniagaan milik rakyat tempatan
di Jalan Teratai di sini.
Beliau mempersoalkan tindakan MPK itu kerana majlis itu didapati
tidak mengambil tindakan serupa terhadap beberapa kediaman di kawasan sama yang
dijadikan premis kedai oleh warga asing.
Katanya tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan memandangkan
kerajaan negeri Selangor selama ini mendakwa ingin membela nasib rakyat apabila
memerintah negeri itu.
"Saya difahamkan bila pakatan rakyat memerintah Selangor
premis perniagaan yang didirikan oleh warga asing serta diragui statusnya
tumbuh macam cendawan.
"Kenapa pihak berkuasa tempatan hanya tutup mata sedangkan
tempat rakyat tempatan mencari rezeki dirobohkan. Kenapa amalkan double
standard," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak premis yang
dirobohkan itu di sini.
Media sebelum ini melaporkan beberapa premis perniagaan melibatkan
restoran, kedai runcit dan buah-buahan di Jalan Teratai dirobohkan MPK kerana
didakwa beroperasi secara haram.
Sehubungan itu, Noh berkata beliau akan menulis surat kepada
kerajaan negerikhususnya MPK bagi meminta penjelasan selain mendesak tindakan
wajar dilakukan bagi menyelesaikan
perkara itu.
Katanya pihaknya juga akan menulis surat kepada Jabatan Sumber
Manusia bagi dilakukan pemeriksaan keadaan asrama dan rumah pekerja sebuah syarikat
pengeluar sarung getah di Taman Daya Maju, Jalan Teratai itu yang didakwa penuh
sesak sehingga membahayakan keselamatan dan kesihatan penduduk setempat.
Beliau berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk bahawa
keadaan asrama dan rumah yang didiami terlalu ramai pekerja warga asing
menyebabkan kawasan persekitaran dan longkang di taman perumahan itu kotor
serta berbau busuk berikutan sampah sarap dibuang merata-rata.
"Kita akan minta pihak Jabatan Sumber Manusia datang dan
lihat sendiri keadaan di kawasan perumahan ini yang dijadikan asrama pekerja
warga asing di mana sebuah rumah ditempatkan dengan kira-kira 40 pekerja warga
asing. Keadaan ini boleh membahayakan keselamatan dan kesihatan penduduk.
"Kita juga minta pihak Kementerian Dalam Negeri melalui
Jabatan Imigresen supaya menjejaki warga asing tanpa izin yang membanjiri
kawasan ini berikutan kebimbangan penduduk terhadap keselamatan keluarga
masing-masing," katanya.
Noh dalam pada itu meluluskan peruntukan berjumlah RM20,000 sebagai
bantuan segera daripada pihak MTPNS bagi membolehkan penduduk kawasan perumahan
itu menjalankan aktiviti pembersihan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan